JOHOR BAHRU: Seorang warga emas yang juga pemilik kedai barangan perkakasan kerugian sebanyak RM3.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim simpanan tetap.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata lelaki berusia 62 tahun itu membuat laporan polis di sini pada Ahad lepas.

Beliau berkata mangsa mendakwa pada Januari 2018 dia ditawarkan menyertai skim tersebut dengan kadar faedah yang baik oleh seorang wanita tempatan yang dipercayai berkhidmat sebagai pengurus sebuah institusi perbankan di Kuala Lumpur.

"Lelaki itu telah membuat bayaran menerusi cek berjumlah RM3.4 juta dari tempoh 3 April 2019 hingga 23 Mac 2023 atas nama sebuah institusi perbankan dan cek tersebut diserahkan kepada wanita itu di syarikat milik mangsa.

"Mangsa pernah menerima faedah simpanan berjumlah RM70,000 pada 2020 dan tidak mengesyaki apa-apa, namun mula curiga pada Januari lepas apabila wanita tersebut memberi pelbagai alasan ketika mangsa ingin mengeluarkan faedah yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kumar mangsa membuat semakan di institusi perbankan terbabit dan mendapati resit pembayaran yang diberikan wanita itu kepadanya merupakan resit palsu serta tiada simpanan tetap atas nama mangsa atau syarikat mangsa.

"Segala pembayaran yang dibuat oleh mangsa kepada wanita tersebut juga didapati telah dimasukkan ke dalam akaun individu lain," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA